Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggantikan ikan kembung dengan ikan merah serta putih dalam senarai 20 barangan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan pada masa akan datang.
Beliau berkata ini kerana ikan kembung kurang popular dalam kalangan masyarakat di negeri ini berbanding di semenanjung.
"Harga bagi ikan merah dan putih juga perlu dikawal supaya pengguna di Sabah dapat membelinya pada harga munasabah di musim perayaan," katanya kepada pemberita semasa melawat Kedai 1Malaysia di Inanam di Kota Kinabalu hari ini.
Jainab berkata pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan lain bekerjasama dengan KPDNKK bagi memantau harga barangan kawalan di Sabah pada musim perayaan ini.
"Dalam beberapa pemantauan yang telah dijalankan bersama KPDNKK, masih terdapat peniaga yang tidak meletakkan tanda harga merah jambu ke atas barangan harga terkawal.
"Ini akan menimbulkan kekeliruan bagi pengguna untuk membezakan barangan kawalan," katanya.
- Bernama
