Demo anti-Thaksin bantah RUU ampun keganasan politik
Penyokong pasukan tentera rakyat menentang rejim Thaksin semalam memulakan tunjuk perasaan dan mereka berikrar menggulingkan kerajaan semasa serta melaksanakan pembaharuan demokrasi di negara ini.
Kira-Kira 3,000 hingga 4,000 orang berhimpun sekitar lokasi yang menempatkan patung Raja Rama VI di depan Taman Lumpini di Jalan Rama IV petang semalam bagi membantah pembentangan satu rang undang-undang esok, yang menawarkan pengampunan
kepada pesalah yang terlibat dalam keganasan politik pada 2010.
Jurucakap pasukan itu, Taikorn Polsuwan berkata mereka menentang rang undang-undang berkenaan namun akan mengadakannya tunjuk perasaan secara aman.
Beliau turut mempelawa semua rakyat Thailand menyertai perhimpunan politik itu, yang dijangka berterusan semalaman.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada tunjuk perasaan serupa diadakan di tempat lain.
Seorang pemimpin kumpulan itu, Marsyal Udara Watchara Rithakani berkata mereka akan menyerahkan surat kepada kedutaan asing di Thailand esok bagi menjelaskan tunjuk perasaan berkenaan.
Kerajaan Thailand kini dipimpin Perdana Menteri Yingluck Shinawatra iaitu adik perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawtra, yang kini dalam buangan di luar negara.
Semalam, Yingluck yang juga Menteri Pertahanan, melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya konflik ketika perdebatan rang undang-undang pengampunan itu dan berharap ia tidak membawa perpecahan yang teruk di negara ini.
Terdapat enam rang undang-undang pengampunan dicadangkan, dan satu daripadanya ditaja anggota Parlimen Pheu Thai Worachai Hema, yang dijangka dibentang untuk bacaan kali pertama esok.
Menjangkakan bantahan terhadap rang undang-undang itu, Kabinet Thailand membenarkan pihak berkuasa menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam menangani isu berkenaan di tiga daerah di bandaraya ini iaitu Dusit, Phra Nakhon dan Pom Prab Satruphai.
- Bernama

