Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita Umno kelmarin sebulat suara bersetuju supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu akhir tahun ini.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata gandingan mantap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu terus dikekalkan bagi memperkasakan lagi parti serta kepimpinan negara pada masa akan datang, lapor Berita Harian .

NONE "Jika ada yang teringin mencabar jawatan berkenaan, Wanita Umno akan berlawan habis-habis dan menjadi benteng pertama mempertahankan kedua-dua," katanya seperti yang dilapor akhbar itu.

Diminta mengulas keputusan Umno Wilayah Persekutuan yang mahu jawatan naib presiden dipertandingkan, Shahrizat berkata ia terpulang kepada individu tersebut, asalkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Akhbar itu juga melaporkan perebutan bagi jawatan ketua Wanita Umno dijangka sengit berikutan beberapa calon dikatakan akan bertanding termasuk bekas ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, ahli parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohd Sadique turut disebut-sebut berminat bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu, tetapi setakat ini beliau masih 'kunci mulut'.

Sementara itu, Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini juga melaporkan ahli parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Puteri Umno yang kini disandang oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Mas Ermieyati yang juga ketua Puteri Umno Melaka bakal berdepan dengan exco Puteri Umno dan Ketua Puteri Umno Petaling Jaya Selatan Jamilah Hanim Othman yang turut menawarkan diri merebut jawatan ketua pergerakan sayap Umno itu.

Sebelum ini, Rosnah yang juga timbalan menteri kerja raya dilapor tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatan ketua puteri Umno dalam pemilihan pucuk pimpinan parti, akhir tahun ini.

Beliau juga belum memutuskan untuk bertanding sebarang jawatan peringkat kepimpinan Wanita Umno atau Majlis Tertinggi parti.