Seorang wanita nyaris terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki tidak dikenali dipercayai penyamun dalam satu kejadian awal hari ini di Jalan Haji Ahmad di Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian 4 pagi, Ruzelawati Basri, 35, ibu tunggal empat anak, baru sahaja keluar dari rumahnya di Taman Mirama di sini secara berseorangan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.
Katanya selepas mengisi minyak di sebuah stesen, mangsa memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad dan membuat panggilan telefon kepada bekas suaminya di Putrajaya sebelum didatangi sebuah kereta berwarna biru gelap dan seorang lelaki kemudian keluar dari kenderaan itu.
Beliau berkata menurut mangsa, lelaki tersebut memegang sepucuk pistol dan mengetuk cermin kereta dan mengarahkannya membuka pintu serta keluar dari keretanya.
"Mangsa yang terkejut terus memecut kenderaannya dan terdengar bunyi cermin keretanya pecah tetapi tidak mendengar bunyi seperti letupan," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Mohd Jasmani berkata mangsa yang beralamat di Precint 9, Putrajaya dan menjalankan perniagaan kedai cermin mata di Kuantan itu terus memecut kenderaannya dan berhenti berhampiran sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad yang jaraknya 200 meter dari tempat kejadian setelah mendapati lelaki itu tidak mengejarnya.
"Siasatan awal polis mendapati terdapat satu das tembakan dilepaskan di cermin pemandu dan dipercayai hinggap di rangka kiri pintu hadapan MPV tersebut dan motif kejadian dipercayai cubaan menyamun," katanya.
Beliau berkata mangsa mengalami luka kecil di bahagian mata kanan dipercayai akibat serpihan kaca dan dia dibantu orang awam yang berada di restoran itu.
Mohd Jasmani berkata orang awam kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu dan mangsa dibawa polis untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan.
- Bernama
