Keuntungan sebelum cukai Star turun kepada RM41.10j
Keuntungan sebelum cukai Star Publications (M) Bhd bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2013, turun kepada RM41.10 juta daripada RM58.55 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Pendapatan susut kepada RM251.32 juta, semasa suku tersebut daripada RM299.44 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Star berkata pendapatan rendah dalam segmen perniagaan cetak dan media adalah disebabkan hakikat bahawa pengiklan masih berhati-hati selepas pilihan raya umum.
Disebabkan perbelanjaan promosi dan pengiklanan tinggi bagi penjenamaan stesen radio RedFM dan 988, pendapatan segmen penyiaran radio turun 9.0 peratus kepada RM12.86 juta berbanding RM14.13 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Pendapatan acara, pameran, dalaman dan bertema jatuh 35.6 peratus kepada RM48.72 juta daripada RM75.64 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun lepas disebabkan kekurangan projek yang diselesaikan oleh Cityneon.
Pendapatan segmen perniagaan saluran televisyen daripada Li TV Holdings Ltd meningkat 54.6 peratus kepada RM1.89 juta dalam suku tersebut tetapi mencatatkan kerugian sebelum cukai RM1.62 juta disebabkan perbelanjaan pemasaran dan program yang tinggi.
Mengenai prospek, Star berkata ia menjangka persekitaran perniagaan industri media terus mencabar pada 2013, dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan prestasi memuaskan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2013.
Dalam sektor media, perbelanjaan pengiklanan kekal sederhana tetapi dijangka meningkat perlahan-lahan dalam separuh kedua tahun ini apabila sentimen bertambah baik.
Segmen berkaitan media kumpulan seperti media cetak, media baru, penyiaran dan televisyen akan meneruskan usaha mereka meningkatkan pendapatan pengiklanan dan menawarkan platform pengiklanan lebih meluas kepada pelanggannya.
- Bernama

