Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes hasutan: Ia hanya pendapat saya dari segi perundangan - Karpal
Diterbitkan:  Aug 16, 2013 6:40 AM
Dikemaskini: 10:44 PM

Peguam Karpal Singh mengulangi bahawa kenyataan beliau berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak adalah pendapat beliau dari segi perundangan semata-mata tentang cara pemerintah berkenaan mengendali krisis itu.

    

Beliau berkata kenyataan akhbarnya pada 6 Februari 2009 di pejabatnya tidak bermaksud menghina atau mempersoal prerogatif atau hak istimewa Sultan.

    

"Pendapat perundangan saya mungkin silap namun tiada sebarang perkataan dalam kenyataan itu yang berbaur hasutan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin semalam dalam perbicaraan kes hasutan yang dihadapi Anggota Parlimen Bukit Gelugor, yang juga Pengerusi DAP itu.

    

Ketika dirujuk kenyataan akhbar beliau dan transkrip sesi soal jawab yang menunjukkan perkataan 'manner atau cara' tidak pernah disebut, Karpal berkata  pandangan beliau itu seharusnya dibaca secara keseluruhan dan bukan berasingan.

    

Karpal juga tidak bersetuju bahawa perkataan yang digunakan dalam kenyataan itu, terutama 'firm reminder' adalah bermaksud memberi amaran atau kata dua kepada Sultan, kerana ia merupakan peringatan berdasarkan beberapa undang-undang kes.

Beliau juga memaklumkan Hakim Azman Abdullah bahawa kenyataannya itu tidak berniat untuk menghina Sultan Perak atau mengelirukan orang ramai.

    

"Saya sedar sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hakim dan Ketua Hakim Negara, Sultan Perak arif tentang undang-undang. Tetapi di sini kita bercakap cara baginda mengendalikan krisis itu. Tindakan baginda memanggil Adun ke istana adalah tidak betul. Perkara itu sepatutnya dilakukan pada persidangan Dewan Undangan Negeri," katanya.

    

Bagaimanapun, ketika dirujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes sivil membabitkan Mohamad Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung langkah yang diambil Sultan Perak sebelum membuat keputusan berkaitan pengguguran itu, Karpal bersetuju pendapatnya adalah berasaskan laporan media semata-mata.

    

Pada 11 Jun 2010, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari 2009.

    

Bagaimanapun, pada 20 Januari 2012, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Karpal membela diri.

    

Karpal, 73, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Perbicaraan bersambung hari ini.

- Bernama

ADS