Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa memenuhi rayuan mangsa kebakaran di Kampung Chubadak, Sentul dan Kampung Puah Bahagia, Bandar Baru Sentul supaya ditempatkan secara tetap di kawasan Batu dan tidak dipindahkan ke kawasan lain.
Pada 8 dan pada 10 Ogos lalu, hampir 50 rumah di kawasan tersebut terbakar dan mengakibatkan 300 orang kehilangan tempat tinggal.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata beliau telah menghantar surat tersebit kepada menteri berkenaan dan DBKL pada 13 Ogos lalu, supaya mereka ditempatkan secara tetap di kawasan Batu.
"Saya amat berharap permintaan ini boleh dipertimbangkan dan tindakan segera akan diambil," kata Tian dalam satu kenyataan hari ini.
Tian berterima kasih kepada DBKL atas usaha berterusan mereka untuk mencari penempatan untuk menampung mangsa.
"Bagaimanapun selepas bercakap kepada kebanyakan mangsa, mereka berharap untuk diperuntukkan penempatan tetap di sekitar kawasan Batu dan tidak di tempat lain.
"Ramai telah ditawarkan penempatan di kawasan Bukit Jalil tetapi, mangsa teragak-agak untuk berpindah kerana kebanyakan mereka telah membina kehidupan mereka di sekitar kawasan ini.
"Ramai warga emas yang menerima rawatan perubatan yang kerap di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak akan dapat membayar kos untuk berulang-alik dan sebagainya. Mereka tidak mahu menderita lagi kehilangan pendapatan, rawatan perubatan dan sekolah," katanya.
Secara umum, tambah Tian, apabila kejadian seperti ini berlaku, ianya sangat penting disediakan penempatan dalam kawasan yang sama untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan harian mereka.
"... dan bukannya memindahkan mereka ke kawasan lain dan mengharapkan mereka memulakan kehidupan baru setelah mereka mengalami kerugian yang besar.
"Insiden-insiden ini jelas menunjukkan kepentingan projek-projek perumahan kos rendah yang lebih diperlukan di kawasan Batu. Selain mangsa, banyak lagi di kawasan itu masih hidup dalam keadaan yang mendedahkan mereka kepada kejadian seperti ini dengan mudah," katanya.
Sehubungan itu, Tian berharap Kementerian Wilayah Persektuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama-sama dengan DBKL akan mempertimbangkan keperluan tersebut pada kadar segera dengan keputusan yang memihak kepada 'kesejahteraan rakyat'.
Mangsa ditempatkan sementara di Pusat Komuniti Sentul Perdana dan Pusat Komuniti Taman Ibukota.
