Rohani: Shahrizat bukan penasihat kementerian saya
Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Rohani Abdul Karim menolak tanggapan bahawa Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil akan dilantik sebagai penasihat di kementeriannya.
Shahrizat yang juga bekas menteri di kementerian sama dikatakan akan dilantik sebagai pegawai khas perdana menteri berhubung hal ehwal wanita.
Perkara ini bagaimanapun belum dapat disahkan.
"Beliau bukan penasihat di kementerian saya," tegas Rohani ketika ditanya perkara itu dalam sidang media hari ini.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa Shahrizat akan diamanahkan untuk membantunya menguruskan hal-hal kementerian.
The Malay Mail Online semalam melaporkan, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, Shahrizat akan dilantik untuk membantu Rohani.
"Rohani dari Sarawak. Barangkali tumpuan kerjanya tidak meliputi banyak aspek semenanjung... kementerian itu sebelum ini diuruskan oleh pihak dari semenanjung," beliau dipetik sebagai berkata.
Rohani bagaimanapun menjawab: "Itu pandangannya."
[Baca berita penuh]

