Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini terhadap pertuduhan menawarkan rasuah RM500,000 kepada seorang pegawai polis pada April lepas.

Zulkifli Ali, 49, didakwa menawarkan rasuah itu kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muar ASP Abdul Ghani Talib sebagai dorongan untuk melepaskan tertuduh yang ditahan kerana kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah nombor 2C, Blok C, Pangsapuri Indah, Jalan Salleh, Muar pada 2.45 petang, 12 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Haldar Abdul Aziz menetapkan sebutan semula kes pada 18 Sept dan menasihati tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM Ridzuan Abd Malik.

Pada 14 Ogos lepas, Zulkifli didakwa di hadapan Pegawai Pendaftar Mahkamah Sesyen Johor Baharu Norhidayah Abdul Manaf atas pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah.

- Bernama