BBC: DUN Johor tiada sekatan media
Orang ramai masih boleh mengikuti perkembangan sidang dewan negeri Johor menerusi liputan media walaupun kerajaan negeri tidak membenarkan siaran langsung kepada orang ramai seperti dipinta Pakatan Rakyat.
Pengerusi BBC Johor, Datuk Samsol Bari Jamali berkata kerajaan negeri tidak pernah menyekat mana-mana media daripada membuat liputan sidang dewan.
"Saya rasa mereka telah dapat liputan yang cukup.
"Kalau anda lihat sendiri liputan sesetengah akhbar kepada pihak pembangkang adalah lebih daripada (liputan kepada) backbencher (penyokong kerajaan) sendiri
"Di Johor kita tak pernah halau mana-mana akhbar, cuba kita bezakan itu dengan tempat lain," kata anggota dewan undangan negeri Semarang itu kepada Malaysiakini .
Beliau tidak merujuk kepada mana-mana tempat secara khusus tetapi ia dipercayai ditujukan kepada Pulau Pinang dan PKR yang bertindak menghalang Utusan Malaysia dan TV3 daripada membuat liputan sidang media dan acara mereka.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas tindakan Pejabat Jurutulis negeri menghalang DAP daripada merakam perjalanan sidang dewan untuk rujukan mereka.
DAP bertindak demikian selepas permohonan untuk membuat siaran langsung sidang dewan sebelum ini tidak dibenarkan speaker dewan.
Bercakap lanjut, Samsol berkata DAP mempunyai hak bagi memohon kebenaran untuk siaran langsung itu namun BN selaku kerajaan negeri juga mempunyai hak untuk meluluskan permohonan itu atau tidak.
"Selagi tidak dizalimi kita berhak untuk minta tetapi ada pihak yang berhak untuk mengiyakan atau menidakkan," katanya.

