'Jelaskan misteri tembak mati di Pulau Pinang'
Persoalan sekitar tindakan polis menembak mati lima individu yang dikatakan anggota kongsi gelap di Sungai Nibong, Pulau Pinang pada Isnin lepas terus dibangkitkan.
Ketua Pemuda MIC negeri J Dhinagaran berkata, walaupun beliau menyokong usaha memerangi jenayah, tindakan mesti diambil dengan adil tanpa membolehkan kewibawaan pihak polis dipertikai.
"Walaupun polis mendapat pujian, terdapat persoalan kenapa polis tidak berusaha menangkap (mereka berlima)," kata Dhinagaran dalam kenyataan.
Anggota keluarga mangsa mendakwa, kelima-lima suspek itu sedang tidur ketika polis menyerbu di pangsapuri Century Bay pada jam 4.30 pagi, berdasarkan keadaan mayat yang dijumpai di bilik-bilik berasingan.
Dhinagaran berkata, jika mereka sedang jaga dan berlaku tembak menembak, sudah tentu mayat mereka akan ditemui di bilik depan.
"Ini misteri yang polis mesti jawab. Ia menimbulkan syak bahawa polis tidak berniat menahan mereka," katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan, kelima-lima individu itu dikehendaki kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan membabitkan penggunaan senjata api.
Menurut agensi berita nasional itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Siasatan Khas (D9) Pulau Pinang dengan bantuan JSJ D9 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta D9 Kedah menyerbu apartmen itu.
Berlaku tembak menembak antara polis dan lima lelaki yang berusia 23 hingga 27 tahun itu mengakibatkan semua penjenayah terbabit mati.
Polis menemui tiga pucuk senjata api yang digunakan penjenayah terbabit iaitu Norinco berwarna perak, Revolver .38 berwarna perak dan Walther PPK berwarna hitam.
Kepada soalan motif mereka menjalankan kegiatan pembunuhan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata berdasarkan siasatan kumpulan itu menerima upah untuk membunuh atau menembak mangsa mereka.
[Baca berita penuh]

