Malaysiakini BERITA

'Rayuan berhubung kalimah Allah bukan akademik'

Hafiz Yatim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan bahawa rayuan mereka terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh agama lain selain daripada Islam adalah satu langkah akademik kerana isu-isu substantif dalam pertikaian itu masih belum lagi didengar.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, yang berhujah bagi pihak kerajaan dan KDN terhadap permohonan Ketua Biskop Roman Katolik Murphy Pakiam (kanan) untuk membatalkan rayuan itu tersebut hari ini, berkata penyelesaian 10 perkara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditawarkan kepada masyarakat Kristian pada 2011, tidak meliputi penggunaan kalimah Allah.

Katanya, perkara itu telah ditegaskan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika membantah permohonan itu, dengan menyatakan bahawa penyelesaian 10 perkara itu tidak meliputi isu Allah.

Oleh itu, kata Suzana, rayuan KDN dan kerajaan masih menjadi isu hidup dan penyelesaian 10 perkara itu tidak menjadi akademik.

Penyelesaian 10 perkara itu, tambahnya, adalah terhad kepada pengimportan dan penerbitan Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia.

Beliau berkata, penyelesaian 10 perkara itu tidak merangkumi semua penerbitan, termasuk Herald Weekly, yang merupakan responden dalam perkara itu, kerana ia tertakluk di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Oleh itu, katanya, KDN boleh mengenakan syarat-syarat untuk menyekat penerbitan, kerana Akta itu merangkumi akhbar dan pencetakan artikel seumpama itu.

Enam Majlis Agama Islam Negeri - Terengganu, Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Kedah dan Selangor - serta Persatuan Cina Muslim Malaysia juga membantah permohonan ketua biskop itu, dengan berkata prosideng rayuan yang dijadualkan pada 10 September, harus dibenarkan untuk didengar.

Permohonan ketua biskop itu didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abu Samah Nordin. Yang lain ialah Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusof.

Sebelum itu, peguam Porres Royan, yang mewakili Ketua Biskop Murphy, berhujah bahawa penyelesaian 10 perkara Najib yang ditawarkan pada bulan April 2011, membolehkan import dan penerbitan Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, dengan kalimah Allah yang digunakan dalam penerbitan termasuk Herald Weekly.

Beliau berhujah oleh kerana Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia dan yang dalam bahasa penduduk asal mempunyai kalimah Allah di dalamnya, maka penerbitan lain, termasuk Herald Weekly, harus dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah.

Royan juga menegaskan bahawa permohonan Herald Weekly untuk semakan kehakiman tertumpu kepada kalimah Allah yang digunakan dalam penerbitannya kerana kementerian itu telah, pada 7 Januari 2009, membantah penggunaannya.

Afidavit Ketua Biskop Murphy untuk permohonan membatalkan rayuan KDN dan kerajaan menyatakan bahawa penyelesaian Najib berhubung penggunaan kalimah Allah mesti diterima kerana ia dibuat untuk menyelesaikan isu itu untuk selama-lamanya.

Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusannya lewat hari ini.

[Baca berita penuh]