Sejak didakwa pada 2006 dan melalui proses perbicaraan, Doa Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, sentiasa menutup wajah mereka ketika berada di luar mahkamah dan kain yang menutup muka hanya dibuka selepas berada di dalam mahkamah.

Pada kebiasaannya, wajah Sirul Azhar kelihatan serius dan lebih banyak menyendiri berbanding Azilah yang ramah dengan mereka yang berada sekelilingnya.

Namun, selepas Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskannya dan Azilah daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar mempamerkan wajah berbeza dengan melemparkan senyuman ke arah anggota keluarganya yang berada di belakangnya.

Ketika ditanya pemberita Bernama sebelum beliau dan Azilah dibawa semula ke penjara untuk proses pembebasan, Sirul Azhar menunjukkan keramahannya sambil menyatakan kesyukuran.

"Bersyukur kepada Allah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih kepada barisan peguam yang membela saya dan ahli keluarga terutama ibu saya yang tidak putus mendoakan.

"Terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga saya dengan baik. Saya berhasrat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya.

Anak lelaki Sirul Azhar yang berusia 13 tahun, turut kelihatan amat gembira dengan pembebasan ayahnya dan dia yang diiringi dua anggota keluarga terdekat sempat menyatakan amat merindui bapanya.

Bapa saudara Sirul Azhar, Mustapha Samat dari Ipoh berkata sejak Sirul Azhar didakwa, beliau hanya sempat hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali dan tidak putus-putus berdoa supaya dia dibebaskan.

Mustapha yang tiba di Kuala Lumpur semalam dilihat menghubungi anggota keluarga untuk memberitahu keputusan mahkamah itu.

-Bernama