Pemimpin Umno Sabah diminta tidak terlalu teruja dan memperbesarkan isu kemungkinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Timbalan Pengerusi Umno negeri itu Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mana-mana pihak tidak seharusnya membuat rumusan awal memandangkan Musa masih belum membuat apa-apa keputusan, lapor Utusan Malaysia .

"Saya ingin menekankan bahawa Musa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Sabah masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini. jadi persoalan mengenai bertanding tidak timbul," katanya seperti dilaporkan akhbar itu hari ini.

Dalam laporan itu juga menyebut, Salleh berkata masih terlalu awal untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan sama ada Musa akan bertanding atau tidak jawatan itu.

Katanya lagi, Umno Sabah hanya menyatakan sokongan kepada Musa sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding dan apa sahaja keputusan Musa akan diterima baik.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menasihatkan Musa yang diura-urakan akan bertanding jawatan naib presiden Umno, supaya "bertenang dan membuat keputusan" sebaik-baiknya.

Malah, Bung Moktar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata beliau "tidak nampak sebab besar" mengapa Musa perlu bertanding jawatan itu.

Sementara Datuk Seri Shafie Apdal - yang tetap akan mempertahankan jawatan itu - pula dilapor menyeru ahli memilih pemimpin yang "lebih afdal" sekiranya terdapat calon daripada Sabah yang berminat bertanding jawatan itu.

"Kalau ada (pemimpin) datang dari Sabah, pilihlah yang lebih afdal. Tapi saya yakin tak ada. Kalau ada, pilihlah yang afdal, kalau tak keberatan," katanya.