Pandangan 'rasis' berkaitan Jalan Alor KL ditegur
MCA menyuarakan kekesalan terhadap rancangan menukar wajah Jalan Alor di Bukit Bintang di ibu negara bagi menarik pelancong ke Malaysia ditukar menjadi isu perkauman oleh sebuah harian berbahasa Melayu, kata biro publisiti MCA.
"Sebagai negara pelbagai kaum yang sudah merdeka lebih 55 tahun, saya sangat kecewa melibat isu kaum menjadi pertimbangan utama dan bukannya kepentingan nasional," kata pengerusi biro itu Heng Seai Kie (
kanan
).
Dalam kenyataannya hari ini, Heng berkata, beliau amat sedih dengan kenyataan "perkauman" Utusan Malaysia itu, yang didakwanya turut memperkecilkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Dengan mempromosikan makanan tempatan, kita juga boleh mempertingkat pelancongan dan industri hospitaliti yang kemudiannya akan membantu menambahkan pendapatan negara, memperbesar manfaat ekonomi untuk kebaikan semua bangsa."
"Jadi, apa yang Utusan kata hanya Cina akan mendapat manfaatnya adalah salah," kata Heng.
Tulisan lidah pengarang Mingguan Malaysia (versi Ahad Utusan ) semalam mempersoalkan keputusan DBKL meluluskan projek RM12 juta untuk membangunkan hab makanan Cina di Jalan Alor.
Menurut tulisan itu, projek itu tidak sepatutnya memberi kepentingan kepada kaum tertentu, apatah lagi apabila "imej Cina di Bukit Bintang itu sudah tebal".
"...Untuk apa lagi diwarnai kawasan itu seolah-olah mahu dijadikan seperti bandar Hong Kong," tulisan itu dipetik.
Menurut tulisan pengarang yang mengguna nama pena Awang Selamat itu, pihak berkuasa sepatutnya memajukan hab makanan Melayu terlebih dahulu.

