Gangguan bekalan elektrik di Pekan Mukah kelmarin, yang bermula pada 5.51 petang, dipercayai berpunca daripada insiden tali layang-layang tersentuh konduktor hidup talian transmisi berkuasa 132 kilovolt.

Menurut kenyataan Sarawak Energy Berhad (SEB), ini konsisten dengan aduan beberapa penduduk tempatan yang mendakwa menyaksikan kejadian lampau kilat berhampiran talian berkenaan.

"Petugas teknikal SEB yang melakukan rondaan di kawasan itu menjumpai tiga layang-layang serta talinya berhampiran menara terbabit di mana berlaku lampau kilat. Gangguan itu pulih sepenuhnya pada 8.18 malam," katanya.

SEB berkata adalah penting untuk semua orang memahami bahawa talian berkenaan amat sensitif dan sebarang sentuhan akan menyebabkan ia terpelantik bagi melindungi kredibiliti sistem secara keseluruhan.

"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan orang ramai bahawa insiden sedemikian bukan hanya menimbulkan kesulitan malah membahayakan keselamatan mereka kerana sentuhan itu boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian akibat renjatan elektrik," katanya kenyataan itu.

Sementara itu, SEB menerusi Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaannya, memulakan kempen kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar bagi mendidik mereka bukan hanya berkaitan isu keselamatan elektrik malah risiko renjatan elektrik.

- Bernama