Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Datuk A Thaiveegan berkata ibu bapa di kalangan masyarakat India di negara ini perlu menyemaikan semangat patriotik di kalangan anak mereka sejak kecil lagi bagi mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam kancah negatif.
Katanya semangat patriotik bukan hanya sekadar mengibar Jalur Gemilang tetapi perlu ditunjukkan dengan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti bertentangan dengan undang-undang.
Thaiveegan yakin seseorang insan yang cintakan tanah air, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan tidak bermoral, malah akan sentiasa berbakti kepada negara.
"Kita melihat ramai anak muda sekarang terlibat dalam kongsi gelap, samun dan pecah rumah hanya untuk mendapatkan wang... Mereka tidak fikir akibat daripada tindakan mereka pada masa depan.
"Segala kemudahan disediakan di negara ini untuk semua lapisan masyarakat, namun kegagalan mencari rezeki adalah disebabkan sikap tidak bertanggungjawab mereka (masyarakat) sendiri," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
Thaiveegan berkata, warga asing menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka, tetapi masyarakat tempatan tidak menghargai apa yang ada di negara ini.
"Warga Bangladesh, Pakistan dan Indonesia datang ke Malaysia untuk mencari rezeki.. Mereka bekerja sebagai penjual permaidani, pekerja domestik dan pembinaan," katanya sambil menambah kegagalan masyarakat tempatan untuk bekerja keras adalah punca kegiatan jenayah berleluasa di negara ini.
Katanya, warga asing begitu pandai mencari duit untuk menyediakan segala kemudahan bagi keluarga di negara masing-masing.
"Contohnya, seorang warga Pakistan bekerja siang malam untuk mencari duit.. Dia bina rumah besar di kampungnya selepas bekerja di negara ini. Tetapi masyarakat kita, bukan macam warga asing... mereka guna jalan pintas untuk mendapatkan wang," katanya.
Thaiveegan yang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia sejak 29 tahun lalu berkata, setiap insan yang lahir di negara ini perlu menghayati kepentingan sejarah bagi mengekalkan keharmonian negara.
Katanya, sejarah pengorbanan tokoh-tokoh negara perlu diajar daripada bangku sekolah lagi untuk melahirkan seorang insan yang berguna kepada negara.
"Semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan institusi agama perlu memupuk semangat cinta akan tanah air di kalangan anak-anak bagi melahirkan negara yang aman damai," tegasnya.
- Bernama
