Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil inisiatif menganjurkan program Jelajah Badan Bukan Kerajaan (BBK) Seni Budaya 2013 sebagai platform untuk mengukuhkan seni budaya tempatan.

Penolong Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni Budaya JKKN, Wan Din Wan Ahmad berkata program bertemakan '1Budaya, 1Destinasi' itu merupakan cetusan idea Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli yang juga bertujuan memelihara dan memartabatkan seni budaya daripada pupus untuk tatapan dan penghayatan generasi akan datang.

"Jelajah ini dapat mendekati masyarakat termasuk pemimpin setempat dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kesenian berterusan sebagai landasan mewujudkan industri budaya berterusan," katanya kepada Bernama ketika Jelajah BBK Seni Budaya itu bagi negeri kumpulan utara di Kedah baru-baru ini.

Jelajah kumpulan utara itu melibatkan peserta dari Pahang, Terengganu dan Kelantan ke Kedah berlangsung lima hari bermula 22 Ogos lepas. Turut diadakan program anak angkat kepada 65 penunggang motosikal berkuasa tinggi di Homestay Kampung Jeruju di Jerlun.

Wan Din yang juga penyelaras program jelajah itu berkata program itu akan diteruskan di negeri kumpulan timur dari 7 hingga 10 Sept depan manakala di negeri kumpulan selatan dijangka dari 7 hingga 11 Nov.

Program jelajah itu merangkumi penganjuran seminar kebudayaan dan kesenian, edaran risalah seni budaya, mempromosikan 'Tahun Melawat Malaysia 2014' dan persembahan khas oleh peserta BBK Seni Budaya terpilih yang menampilkan ciri kebudayaan dan kesenian negeri masing-masing.

Beliau berkata peserta BBK Seni Budaya akan dikenal pasti untuk dibawa menjelajah ke daerah terpilih di negeri utara, timur dan selatan sekali gus memberi pengiktirafan kepada peserta BBK itu dalam usaha memperkenalkan seni budaya masing-masing kepada masyarakat luar.

"Misalnya bagi jelajah kumpulan utara yang kita buat di Kedah ini kita ada membawa peserta BBK Pahang dan Terengganu untuk mempersembahkan seni budaya negeri masing-masing buat tatapan dan untuk diperkenalkan kepada orang Kedah," katanya.

Wan Din berkata program jelajah itu turut disertai kelab motosikal berkuasa tinggi bagi memeriahkan lagi program itu termasuk mengedar risalah.

Beliau berkata jelajah kumpulan utara itu mencapai objektif berdasarkan maklum balas positif peserta sepanjang lima hari berlangsungnya program jelajah itu.

Antara manfaat yang diperoleh adalah berlaku pertukaran budaya penduduk setempat di Kedah dengan peserta BBK Seni Budaya Pahang, Terengganu serta Kelantan di samping mempereratkan ukhuwah antara satu sama lain.

"Contohnya ada peserta kita dari Terengganu, Pahang, Kelantan berpeluang melihat seni budaya masyarakat Kedah. Begitu juga masyarakat Kedah mahupun Terengganu dapat mengetahui Tarian Labi-labi dari Pahang dan Silat Kura-kura dari Terengganu.

"Di samping itu juga dapat mengetahui, mempelajari dan berkongsi loghat negeri masing-masing," katanya.

Sementara itu, peserta BBK Pahang Awang Kechik Jusoh, 59, yang mengetuai penari Tarian Labi-labi terdiri daripada tujuh pelajar sekolah, berkata beliau gembira kerana kumpulan tariannya terpilih mengikuti program jelajah itu.

Awang Kechik berkata penganjuran program seumpama itu dapat memberikan pendedahan meluas berhubung seni budaya masyarakat luar selain dari negeri Pahang kepada pelajar sekolah berkenaan.

"Bila kita dapat berkumpul ramai-ramai ini dapat menjalin kemesraan antara satu sama lain dan budak-budak yang saya bawa ini pun kata seronok boleh ikut sekali," katanya.

Roslan Ngah, 49, dari Terengganu yang merupakan peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi pula berkata beliau sangat teruja mengikuti konvoi program jelajah itu memandangkan baru pertama kali terlibat bersama program JKKN.

Beliau paling menyukai program anak angkat di Homestay Kampung Jeruju di Jerlun Kedah kerana dapat mengenali sahabat baharu selain berkongsi cara hidup penduduk di situ.

Penduduk Kampung Jeruju yang terlibat dengan program anak angkat, Tuan Pah Nur Syed Ali, 43, pula berkata program jelajah itu sangat bagus dan antara aktiviti yang paling menarik pernah dianjurkan di Homestay Kampung Jeruju.

Tuan Pah Nur berkata beliau bersama anak-anaknya dapat mengetahui seni budaya baharu daripada peserta BBK Pahang dan Terengganu seperti Tarian Labi-labi dan Silat Kura-kura."

"Saya rasa seronok sebelum ini tidak pernah dengar pun Tarian Labi-labi mahupun Silat Kura-kura sehingga anak-anak yang peringkat bawah ini dapat tahu juga," katanya.

- Bernama