Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPAD: Persatuan kereta sewa di Johor digesa bersatu

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyeru kira-kira 30 persatuan kereta sewa di negeri ini yang dianggotai 3,000 orang agar bersatu dan mengelak berbalah sesama sendiri.

Ketua SPAD Wilayah Selatan Mustafa Mohd Izat berkata, terdapat sesetengah daerah mempunyai lebih daripada dua persatuan kereta sewa ekoran perpecahan dalam persatuan asal sehingga ada yang bertindak menubuhkan persatuan baru, semata-mata tidak berpuas hati dengan pemimpin.

"Di daerah Muar sahaja terdapat dua persatuan, Batu Pahat tiga persatuan dan Johor Baharu sendiri ada empat persatuan kereta sewa yang menyebabkan berlakunya persaingan dan perbalahan terutama dalam 'mendapatkan kawasan.

"Berpersatuan itu baik, tetapi jika banyak kepala (ketua) ia jadi susah dan kita seharusnya memikirkan mengenai tugas dan kebajikan ahli, bukan hanya bertujuan mencari kepentingan melaluinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog dan jamuan Aidilfitri Persatuan Teksi Bentayan dan derma darah di Hentian Teksi Bentayan, di Muar semalam.

Menurutnya apabila jumlah persatuan terlalu ramai, ia agak sukar diuruskan dan secara tidak langsung kebajikan dan disiplin anggota turut terabai.

Keadaan itu menyebabkan pelanggan merungut dengan sikap pemandu kereta teksi dan kereta sewa yang tidak berhemah semasa berurusan dengan pelanggan selain mengenakan tambang yang mahal, katanya.

Sehubungan itu, katanya SPAD akan turun ke setiap daerah untuk memberi kesedaran kepada pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa supaya mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pihaknya juga katanya, akan sentiasa melakukan pengawasan berkala, operasi bersama jabatan lain dan penyamaran untuk menahan mereka yang melakukan kesalahan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS