Seorang saksi dalam inkues kematian penjaja Lim Chin Aik menceritakan bagaimana dia melihat tiang penebat kilat yang besar dari atas Menara Umno di Pulau Pinang jatuh menghempap sebuah kenderaan berwarna kelabu yang lalu di situ.

NONE Khor Hun Hin, seorang penjual durian di Jalan Macalister, tempat kejadian itu berlaku Jun lalu, berkata dia melihat "dengan mata saya sendiri" bagaimana tiang konkrit itu jatuh dari atas bangunan tersebut menghempap kereta berkenaan.

Gerai durian Khor terletak kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Lima belas minit selepas kejadian itu, katanya, beliau memberitahu seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian bahawa sebuah kereta tertimbus di situ.

Bagaimanapun, Khor mendakwa cakapnya itu tidak diendahkan oleh anggota polis tersebut.

Sebahagian daripada kereta terbabit, sebuah Honda City, kemudiannya ditemui tertimbus akibat dihempap tiang penebat kilat itu.

Kor berkata, van miliknya juga terkena serpihan yang jatuh dari atas bumbung bangunan, dan dia juga turut sedikit cedera.

Sebelum kejadian itu, tambahnya, dia sedang melayan seorang pelanggan - seorang penunggang motosikal - yang hendak membeli buah durian tetapi kemudiannya beredar dari situ apabila cuaca bertukar.

Khor memberitahu Mahkamah Koroner melalui jurubahasa bahawa dia membuat laporan di balai polis Jalan Pattani mengenai kejadian tersebut.

Khor, 61, memberitahu demikian ketika disoal oleh pegawai pengendali Lim Cheah Yit semasa inkues yang bermula pada hari Isnin untuk menentukan kematian Lim supaya keluarganya boleh mendapatkan sijil kematian bagi tuntutan insurans.

NONE Lim, 44, dipercayai tertimbus di situ akibat keretanya dihempap batang penebat kilat yang jatuh di situ, walaupun usaha mencarinya selama empat hari oleh pihak berkuasa, telah gagal.

Lim (kanan) dipercayai telah memandu melalui jalan tersebut untuk pergi mengambil anak perempuannya dari sekolah apabila angin kuat melanda Pulau Pinang pada petang 13 Jun.

Khairul Anuar adalah koroner yang mempengerusikan  inkues tersebut, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Yit dibantu oleh Suhaimi Ibrahim dan Nurdeenie Abdul Rashid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Lim.

Inkues itu telah ditangguhkan kepada 22 hingga 25 Oktober selepas 12 saksi dipanggil memberi keterangan.

Bulan depan, saksi-saksi lain dijadualkan memberi keterangan termasuk perunding bebas kumpulan Ikram dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir A Rajendran. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Khor, 56, berkata dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang dia dan rakannya, Ah Tiong melihat penebat kilat yang berada di bahagian atas bangunan itu bergoyang.

    

"Apabila melihat besi (penebat kilat) itu bergoyang saya pun lari selamatkan diri dan selepas itu saya ternampak sebuah kereta berwarna kelabu melalui jalan itu, saya tengok besi jatuh menegak dan terkena bahagian cermin hadapan dan kereta itu terbenam dalam tanah.

    

"Saya dan Ah Tiong (rakan) nampak dengan mata sendiri batu (struktur konkrit) itu jatuh dan terkena kereta kelabu itu," kata saksi ke-16 prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim. 

Khor juga mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan dalam prosiding inkues hari ini adalah sama seperti yang dilihatnya.

"Saya juga mengalami kecederaan akibat terkena serpihan batu dan gerai saya juga mengalami kerosakan," katanya.

    

Terdahulu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain memberitahu mahkamah teknik mengorek untuk mengeluarkan mangsa yang dipercayai tertimbus di kawasan kejadian berbeza dengan teknik yang selalu dilakukan pasukan itu.

    

Beliau berkata dalam keadaan seperti itu sepatutnya hanya kawasan sekeliling konkrit sahaja yang dikorek untuk mengetahui kedalaman konkrit itu dan bukannya memecahkan konkrit yang mengakibatkan ia tertanam lebih dalam.

"Keadaan itu berlaku apabila terlalu banyak arahan dikeluarkan di tempat kejadian, sekiranya dikorek di kawasan keliling konkrit peluang untuk menjumpai mangsa dan bangkai kereta cerah, tetapi apa yang berlaku ialah konkrit itu dipecahkan dari atas yang telah menyebabkan ia tertanam lebih dalam," katanya.

    

Ismail juga berkata pasukan Bomba dan Penyelamat turut menggunakan khidmat anjing pengesan untuk mengesan mangsa bagaimanapun ia sukar dilakukan disebabkan kawasan kejadian dipenuhi batu konkrit dan besi.

    

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat di atas Menara Umno yang runtuh.  

    

Khairul Anuar, yang mendengar inkues itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan Siti Fatimah Talib, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor yang dibantu Norliza Ali.

    

Prosiding inkues bersambung 22 Oktober.