TPM: Tindakan Pak Samad memalukan, tak senonoh
Tindakan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang didakwa terlibat dengan perbuatan mempamerkan Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang merdeka dianggap memalukan dan tidak senonoh oleh timbalan perdana menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin (
kiri
) berkata, Jalur Gemilang sebagai simbol yang mewakili Malaysia di seluruh dunia sepatutnya dihormati.
"Apa niat sasterawan negara mengibarkan bendera Sang Saka saya pun tak tahu. Takkan sebagai seorang yang dihormati (dan) mengeluarkan banyak penulisan yang dianggap satu hasil sastera besar melakukan sesuatu yang agak memalukan.
"(Dia) bukan tidak terpelajar. (Bahkan) terpelajar lebih daripada kita," kata Muhyiddin dalam ucapannya kepada kira-kira 2,000 pelajar lama dan baru Universiti Malaya (UM) sempena Minggu Haluan Siswa UM sesi 2013/2014 di ibunegara hari ini.
Berdasarkan gambar, A Samad dilihat sedang berucap dekat Dataran Merdeka sementara berdekatannya dengannya seorang individu mempamerkan bendera bendera merah putih dengan 12 bintang kuning disusun tiga baris dalam empat jalur yang kemudiannya dirampas seorang lelaki.
Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad ditahan polis di rumahnya di Bangsar Utama pada awal pagi Rabu lepas untuk membantu siasatan berhubung insiden itu.
Isnin lepas, aktivis politik, Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden sama.
Rakaman video berkaitan insiden itu telah dimuat naik di laman sosial. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata: "Kita tahu di Malaysia sudah ada simbol negara kita sendiri iaitu bendera Malaysia, Jalur Gemilang kita berikan nama. Ia telah diterima oleh rakyat dan di mana-mana sahaja, orang kenal kita dengan Jalur Gemilang.
"Bagi saya (ia) tidak harus dilakukan, dan sesuatu yang memalukan apatah lagi dilakukan oleh sasterawan negara," katanya.
Muhyiddin yang juga menteri pendidikan berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku walaupun ada rasa tidak puas hati atau tidak bersetuju dengan kerajaan kerana Jalur Gemilang sudah lama termaktub dalam perlembagaan.
Justeru, beliau meminta generasi muda supaya menghormati Jalur Gemilang dan menghayati makna tersirat di sebalik bendera kebangsaan negara.
"Bendera Malaysia adalah jiwa kita, roh kita. Lagipun setiap kali dikibarkan, kita berdiri tegak. Itu adalah simbol kedaulatan negara kita," katanya.
Muhyiddin yang juga bekas mahasiswa UM turut berkongsi pengalaman penglibatan beliau dalam bidang politik, yang turut menjadi antara soalan popular dalam kalangan mahasiwa pada majlis itu.
Walaupun menyokong penglibatan kepimpinan boleh dibentuk sejak zaman persekolahan dan universiti, namun Muhyiddin menasihati mahasiswa supaya tidak terlalu ghairah dan beria-ia sehingga menampakkan mereka berjuang untuk diri sendiri dan bukan berniat untuk membantu masyarakat.
Muhyiddin berkata beliau melibatkan diri dalam bidang politik selepas tamat pengajian dan memasuki bidang pekerjaan serta didorong oleh tokoh-tokoh Umno Johor.
"Saya masuk politik bukan secara saya rancang, orang lain rancang dan oleh kerana Allah yang tentukan. Bermula dari situlah, baru saya faham apa itu politik sebenarnya, apalah perjuangan sebenarnya, apalah tujuan saya masuk parti seperti itu. Tidak lain adalah untuk membela kelemahan, kekurangan dan (menentang) ketidakadilan dengan menyertai badan seperti itu.
"Sebab itu saya katakan kepada anak-anak muda yang berminat nak masuk politik, jangan kamu menunjukkan bahawa kamu beria-ia benar, secara agak agresif tidak mahu bersedia menunggu dan menaik dari satu tangga ke satu tangga. Saya pernah naik dan pernah turun dan saya anggap sebagai cabaran dan belajar," katanya.
Menurutnya dalam politik, keikhlasan perjuangan dan matlamat boleh menentukan kejayaan seseorang ahli politik itu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan komited dalam usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini dan sedia mempertimbangkan peruntukan sekiranya institusi pengajian tinggi mahu memperbanyakkan aktiviti berunsur perpaduan.
"Saya boleh pertimbangkan peruntukan kalau universiti mahu memperbanyak aktiviti yang membentuk semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar," katanya.
Selain itu, beliau berkata dalam mesyuarat jemaah menteri yang lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan perkembangan program askar wataniah dan Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata program itu boleh menerapkan disiplin, nilai, menghormati dan semangat patriotisme yang tinggi yang boleh menjamin masa depan negara yang aman dan harmoni.
Muhyiddin juga mengingatkan para mahasiswa agar memberi tumpuan kepada bidang pelajaran dan menjadi manusia yang berjaya pada masa akan datang.

