Kumpulan penyokong timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menggesa parti berkenaan untuk mengadakan perhimpunan agung luar biasa untuk menukar keputusan membatalkan penggantungan keahlian anggota exco Johor Datuk Tee Siew Kiong.

Seramai 14 anggota jawatankuasa pusat MCA tersebut mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media tergempar di ibu pejabat MCA hari ini, selepas pertemuan selama lebih satu jam.

Kumpulan berkenaan berpendapat, keputusan jawatankuasa pusat pada 5 September 2013 bercanggah dengan resolusi MCA agar pemimpin parti menolak jawatan dalam kerajaan jika parti tersebut tidak menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Oleh yang demikian, kumpulan tersebut mahu penggantungan keahlian Tee dikekalkan.

Menurut Liow, ia merupakan resolusi “mudah” yang boleh dibincangkan dan presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek boleh menggunakan kuasa eksekutif untuk mengadakan EGM dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, Chua tidak harus menyuliskan keadaan dengan membangkitkan mesyuarat bahagian yang akan bermula pada 22 September sebagai alasan untuk tidak mengadakan EGM.

Tindakan yang dijalankan kumpulan penyokong Liow ini meningkatkan lagi perseteruan antara kem berkenaan dengan kumpulan penyokong Chua.

[Baca berita penuh]