versi terkini Seorang wakil Barisan Nasional dicabar keluar sidang dewan dan mengulangi kenyataannya selepas menuduh DAP berhasrat membina sebuah "universiti Kristian terbesar" jika parti pembangkang itu memenangi pilihanraya lalu.

"Saya masih ingat Pengerusi DAP Lim Kit Siang, beberapa tahun yang lepas, di Sibu selepas menyaksikan perarakan tahunan Krismas di Sibu, tidak teragak-agak mengambil peluang keemasan untuk menipu pengundi-pengundi Sibu dengan mengatakan 'jika DAP menang kerusi Sibu, DAP akan membina sebuah universiti Kristian terbesar di Sibu'," dakwa wakil rakyat Sibu, Robert Lau Hoi Chew di Dewan Rakyat pagi tadi.

Tiga wakil rakyat DAP, Chong Eng dari Bukit Mertajam, Teresa Kok (Seputeh) dan Tan Kok Wai (Cheras) bangun sejurus selepas kenyataan itu.

Pergaduhan mulut berlaku antara Chong dan Lau. Wakil rakyat Sibu itu tidak membenarkan Chong mendapatkan penjelasan.

"Ini bukanlah kali pertama beliau membuat tuduhan yang tidak berasas, (dan) pembohongan di sini, tetapi tidak pernah pun beliau mengulangi tuduhan itu di luar dewan," kata Tan pula.

"Kalau awak seorang jantan, ulangkan (kenyataan itu) di luar (Dewan Rakyat)," cabarnya lagi dan disambut oleh Lau "awak tunggu saya, awak pergi (keluar) dulu dan tunggu saya."

Tan kemudian bangun dan keluar dari dewan, diikuti Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) dan Lim Hock Seng (DAP-Bagan).

Wakil Sibu seterusnya menyifatkan tindakan wakil-wakil DAP keluar dewan itu sebagai "sandiwara".

Ketegangan berlaku lagi apabila Tan terus mendesak wakil rakyat Sibu itu keluar dewan.

Timbalan Speaker, Datuk Muhamad Abdullah menasihatkan wakil Cheras itu agar tidak mengganggu atau beliau boleh diperintah keluar daripada sidang itu.

Tidak boleh menjawab

"Apabila membuat tuduhan dan membuat anggapan mestilah ada bukti, apabila dipersoalkan kita tidak boleh menjawab susahlah," jelas Muhamad lagi, sambil meminta wakil Sibu berhati-hati dalam perbahasannya.

Wakil rakyat DAP yang masih tidak berpuas hati dengan kenyataan Lau semasa membahaskan Rancangan Malaysia ke-8 (RMK8) menunggu beliau di luar dewan.

Ketegangan berlaku sekali lagi selama beberapa minit di luar dewan itu apabila wakil-wakil rakyat DAP terus mencabar Lau mengulangi kenyataannya di hadapan wartawan.

"Datang Sibu, tengok sendiri," jerit Lau di luar dewan.

Pertengkaran mulut itu berhenti apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datok) berjaya menenangkan keadaan.

Ketika membahaskan RMK8, Lau membangkitkan beberapa perkara berhubung krisis ekonomi negara pada 1997.

"Ketidakjujuran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mengakibatkan kerugian besar, malah memufliskan syarikat-syarikat yang mempunyai potensi keuntungan yang baik," kata Lau, dan disambut tepukan meja wakil-wakil pembangkang sebagai tanda sokongan.

Lau juga berkata banyak projek kerajaan yang dilaksanakan di bawah sistem turnkey atau payung telah mengurangkan nilai perbelanjaan sebenar kerajaan.

Beliau turut mendakwa ramai profesional dan lepasan institusi pengajian tinggi bekerja di negara-negara jiran sementara menunggu keputusan permohonan kerja daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).