Presiden NGO pendesak Melayu Perkasa Datuk Ibrahim Ali menggesa kerajaan membuat perubahan besar termasuk memperbetulkan undang-undang sedia ada bagi mengatasi kelemahan yang dihadapi usahawan bumiputera sehingga mereka menjadi kurang maju.

Ibrahim yang dipetik dalam Utusan Malaysia hari ini sebagai berkata tindakan memberikan inisiatif kepada usahawan bumiputera yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak esok mesti dilaksanakan "secara bersungguh-sungguh".

Beliau berkata terdapat anggapan bahawa tindakan memberi sekurang-kurangnya 30 peratus kek ekonomi negara kepada bumiputera sudah tidak relevan.

"Persepsi yang mengatakan keistimewaan bumiputera perlu dihapuskan juga perlu diperbetulkan," katanya sambil menambah pembahagian ekonomi terhadap orang Melayu dan bumiputera masih belum adil.

"Apa yang kita mahu ialah peningkatan kekayaan bumiputera dan orang Melayu secara total. Jika diikutkan kekayaan itu harus mewakili sebanyak 60 peratus iaitu menyamai bilangan penduduk bumiputera di negara ini," katanya lagi.