Menteri: Perutukan untuk kg baru tak dimansuhkan
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan memansuhkan peruntukan untuk kampung baru.
Sebaliknya kata beliau, peruntukan itu sentiasa bertambah setiap tahun dan untuk tahun ini 95 peratus daripada RM55 juta yang diperuntukkan sudah dibelanja.
"Saya ingin tegaskan peruntukan untuk kampung baharu sebanyak RM55 juta tahun ini telah dibelanjakan tanpa pemotongan langsung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kebakaran Bomba dan Penyelamat Zon Tawau di situ.
Beliau juga menyifatkan dakwaan oleh parti pembangkang itu sebagai tidak sihat, tatkala negara meraikan Hari Malaysia ke-50.
"Saya kesal kerana mereka menggunakan isu kampung baharu ini untuk menaikkan semangat kebencian terhadap kerajaan dalam kalangan orang Cina di kampung baharu," katanya.
Menurut Abdul Rahman, jumlah peruntukan untuk kampung baharu itu adakala mencecah RM70 juta setahun sejak kebelakangan ini berbanding sekitar beberapa juta ketika peringkat awal penubuhan kampung baharu dulu.
Katanya penyaluran peruntukan ke kampung terbabit menghadapi masalah selepas pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini kerana pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) terbabit meletak jawatan, susulan keputusan MCA untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan setelah kalah teruk pada pilihan raya itu.
"Dahulu projek-projek kecil disalurkan melalui pengerusi JKKK tetapi kalau pengerusi JKKK tidak ada, sudah tentu saya akan mencari kaedah lain, mungkin menggunakan pejabat Majlis Daerah untuk menyalurkan projek tersebut kerana ia harus dipantau dan diperakui.
"Jadi kalau mereka (pembangkang) tidak mahu (peruntukan disalurkan) melalui majlis daerah, ke mana lagi. Pegawai mana lagi yang memantau dan memperakui projek kecil ini selain Majlis Daerah?" katanya.
-Bernama

