ANGKASA tak puas hati, menteri akan jumpa
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) berhubung peranan badan itu dalam memperkukuh ekonomi bumiputera.
Menyatakan demikian, Hasan (
kiri
) berkata pertemuan itu ekoran rasa tidak puas hati Angkasa yang menyatakan bahawa peranannya tidak disebut dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu lepas.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah semalam dilaporkan berkata sewajarnya kerajaan meneliti semula peranan koperasi di negara ini serta menilai kembali sektor koperasi dalam pembangunan ekonomi negara khususnya ekonomi Bumiputera.
Hasan berkata beliau akan mengambil perhatian dan membantu peranan koperasi dalam sektor ekonomi negara ini.
Katanya, memang ada koperasi yang berjaya dengan menceburkan diri dalamsektor hartanah, perkilangan dan perladangan.
Hasan bercakap kepada pemberita selepas melawat Kilang Penyembelihan Ayam milik syarikat swasta di Mukim Serkam, Merlimau, di Jasin semalam.
Kilang yang beroperasi sejak 2008 dengan 500 pekerja termasuk pekerja asing kini memproses 90,000 hingga 100,000 ekor ayam sehari bagi bekalan domestik serta pasaran eksport antaranya Singapura, Hong Kong, Kuwait dan Jordan.
- Bernama

