Ku Nan takkan hadir ke tribunal BERSIH
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau tidak akan menghadiri tribunal pilihan raya ke-13 yang dijalankan oleh BERSIH kerana badan itu sendiri sehingga kini masih tidak 'bersih'.
Dakwanya, beliau sendiri mengetahui bahawa BERSIH ada menghantar pendatang asing yang menyamar sebagai warganegara untuk mengundi di kawasan parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum yang lepas.
"Mereka ada di sana, mereka lihat apa yang terjadi (dan) mereka bawa orang Bangladesh dengan teksi yang cuba untuk menyamar, cuba untuk jadi pengundi.
"Siapa yang buat semua ini? Orang-orang BERSIH," katanya pada satu sidang media pagi tadi.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan BERSIH yang menjelaskan mereka telah menulis dua surat rasmi kepada Tengku Adnan bagi menjemput wakil BN untuk hadir ke tribunal itu.
Dakwa BERSIH, Tengku Adnan sebelum ini bersetuju untuk hadir jika pihak BERSIH menjemputnya dengan rasmi secara bertulis.
BERSIH sebelum ini juga berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan turut hadir ke tribunal itu selepas mendengar perkembangan tribunal itu yang dilaporkan media.
Terdahulu pagi tadi, Tengku Adnan selaku Menteri Wilayah Persekutuan menerima tabik hormat pada perbarisan Hari Penguatkuasa ke-44 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa.

