Najib, Muhyiddin umum pertahan jawatan
Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini masing-masing mengumumkan akan mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Bercakap dalam satu sidang akhbar petang ini, Najib berkata beliau membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan presiden Umno berikutan sokongan yang diterimanya dari cawangan dan bahagian.
Najib, bagaimanapun, enggan mengulas sama ada beliau menjangka berdepan dengan cabaran bagi jawatan tersebut, dengan berkata ini akan diketahui pada hari jam 5 petang Sabtu ini, iaitu tarikh akhir menghantar borang pencalonan.
Perdana menteri juga berkata beliau tidak mempunyai pasukan tertentu dan menegaskan bahawa kesemuanya adalah sebahagian daripada pasukannya dalam Umno.
Manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan akan mempertahankan jawatannya beberapa jam selepas Najib mengumumkan akan mempertahankan jawatan presiden.
Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri mengumumkan demikian di kediaman rasminya di Putrajaya petang ini.
Selepas Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu, terdapat gesaan yang meluas supaya kedua-dua jawatan tertinggi Umno itu tidak dicabar.
Dalam PRU13 lalu, BN gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat tetapi Umno berjaya menambah kerusi Parlimen yang dimenanginya kepada 88 kerusi.

