Parti politik M'sia 'terlalu terlibat' dalam perniagaan
TRIBUNAL BERSIH Parti-parti politik di Malaysia terbabit secara meluas dalam perniagaan dan dalam syarikat-syarikat, yang berkemungkinan menjadikannya satu fenomena unik di Malaysia sahaja, kata seorang ahli akademik.
Ini mungkin satu-satunya negara di mana parti-parti politik terlibat secara meluas dalam perniagaan dan syarikat-syarikat, kata Dekan Fakulti Sain Sosial Universiti Malaya, profesor Terence Gomez dalam satu testimoni video yang ditayangkan di Tribunal Rakyat PRU13.
Sambil menegaskan bahawa majoriti penglibatan dalam perniagaan tersebut milik Umno, Gomez mengakui ia telah mewujudkan padang permainan yang tidak sama rata dalam dana pilihan raya antara kedua-dua parti politik.
Gomez juga mendakwa bahawa ahli politik dari kedua-dua belah pihak keberatan untuk bercakap mengenai sumber pembiayaan parti mereka.
Ahli politik BN sangat keberatan, begitu juga dengan beberapa ahli politik PKR, katanya berdasarkan temubualnya dengan ahli politik semasa tempoh kempen pilihan raya umum pada 5 Mei lalu.
Bagaimanapun, katanya, DAP dan PAS agak terbuka mengenai dana pembiayaan mereka.
Katanya, oleh kerana sumber dana mereka dikutip melalui ceramah, maka mereka juga mengumumkan secara terbuka jumlah kutipan sepanjang ceramah.
Panel tribunal anjuran BERSIH itu dipengerusikan oleh pakar perlembagaan dari Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Yash Phal Ghai.
Ia diadakan dari hari Rabu hingga Ahad ini di sebuah hotel Jaya Subang.
[Baca berita penuh]

