Apabila menyentuh perihal 'zakat', masih ada segelintir umat Islam berpandangan bahawa ia hanya diwajibkan pada bulan Ramadan dengan merujuk kepada 'zakat fitrah'.

Walhal, skop pengertiannya lebih meluas dan ia merangkumi pelbagai jenis zakat iaitu zakat perniagaan, emas, wang simpanan mahupun ternakan.

Zakat diwajibkan bagi mereka yang layak bertujuan membahagikan harta kekayaan mengikut peraturan yang ditetapkan syarak kepada golongan asnaf.

Kewajipan menunaikan perintah dan ibadah kepada Allah ini bertujuan memberi ketenangan, pendapatan yang berkat kepada si pembayar zakat. Ini kerana, harta dimiliki sebenarnya bukan milik seseorang individu itu tetapi adalah hak Allah SWT.

Justeru, berzakat akan membersihkan pendapatan diperoleh mereka dan bagi memberi peluang kepada golongan asnaf untuk turut menikmati kurniaan Allah SWT di muka bumi ini.

Pendekatan segar

Melihat kepentingan itu, Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) berpendapat akan keperluan paradigma dalam dakwah mereka bagi menarik lebih ramai tampil menunaikan kewajipan itu.

"Kalau kita tengok rekod pembayar yang ada di PPZ ini (PPZ-MAIWP), 55 peratus daripada jumlah kutipan zakat bagi enam bulan pertama ini disumbangkan oleh golongan berumur 20-50 tahun.

"Ini menunjukkan 'potential' sangat besar dan kita merasakan ada cara, kaedah lebih baik untuk kita gunakan supaya pendekatan dakwah ini dapat sampai kepada golongan sasar," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan Abdul Hakim Amir Osman kepada Bernama .

Oleh itu pelbagai pendekatan 'segar' disuntik oleh PPZ seperti kaedah pemotongan gaji, perbankan Internet, kad kredit bagi memudahkan urusan pembayaran zakat.

Usaha ini turut meliputi aspek pencerahan 'zakat' menerusi konsep dakwah sambil berhibur seperti ceramah membabitkan artis dan terbaru, paling menarik menggunakan medium 'animasi'.

Mengapa animasi?

Abdul Hakim Amir semasa menjelaskan pemilihan medium animasi berkata ia bertitik-tolak daripada siri kartun popular Upin dan Ipin yang berjaya menambat hati kanak-kanak juga dewasa.

Animasi dilihat sebagai kaedah terbaik memancing minat masyarakat Islam menerokai pengetahuan 'zakat' dan dengan itu PPZ-MAIWP telah melancarkan 'Info Zakat Bersama Ustaz Amil'.

Berkonsepkan video tutorial animasi 3D yang mana setiap karakter itu akan digunakan bagi mengupas dan menjelaskan tajuk berkaitan seperti pengenalan zakat, pengertiannya, jenis harta yang dikenakan zakat dan pengiraan pelbagai jenis zakat.

"Sejak kita melancarkannya pada 7 Julai lepas, respons diterima menggalakkan. Menariknya, ia (animasi) tidak pernah dibuat oleh mana-mana agensi agama lain.

"Jadi, ini menampakkan seolah-olah PPZ-MAIWP membuat satu inovasi penyampaian dakwah kepada kumpulan sasar," katanya.

Pengisiannya tidak 'berat', tetapi santai, mempunyai sembilan siri dan boleh diakses melalui media baharu seperti laman sosial Facebook, YouTube, Twitter mahupun di laman sesawang PPZ.

Beliau menaruh kepercayaan akan kekuatan media baharu berikutan kebanyakan golongan sasar dalam lingkungan 20-an ke atas lebih tertumpu kepada penggunaan media sosial.

Ini seterusnya akan mempertingkatkan kutipan dan bilangan pembayar zakat di Wilayah Persekutuan serta seluruh negara.

Untuk tahun ini, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan sebanyak RM430 juta dengan bilangan pembayar seramai 120,000 orang bagi kawasan Wilayah Persekutuan.

Kanak-kanak, akar umbi

Istimewanya, PPZ-MAIWP turut melancarkan Maskot Ustaz Amil, antara satu karektor yang digunakan dalam video tutorial animasi berkenaan.

Ia berperanan sebagai pendakwah dan ikon yang ingin ditonjolkan sekali gus membantu mengingatkan masyarakat Islam mengenai kewajipan itu setiap kali terlihat maskot berkenaan.

"Kenapa perlu ada maskot? Apabila masyarakat melihat Maskot Ustaz Amil, ia mewakili PPZ dan boleh menceritakan asas-asas zakat pada masyarakat Islam.

"Inilah julung kali ada maskot, pusat zakat negeri pun tidak ada. Yang membuat dan mengetengahkan video tutorial animasi dan maskot ini adalah PPZ-MAIWP, tetapi ia akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Islam negara ini," katanya.

Penumpuan semua ini, tidak terhad kepada penarikan minat kumpulan sasar tetapi juga berorientasikan 'pendidikan sejak kecil' untuk diterapkan dalam kalangan kanak-kanak.

Abdul Hakim Amir berkata adalah menjadi matlamat PPZ mengarusperdana pendidikan zakat bermula daripada akar umbi supaya mereka mengetahui secara jelas mengenai kewajipan itu apabila melangkaui dewasa.

"Kita harap kanak-kanak mendapat kesedaran awal. Apabila mereka bekerja nanti, ia (zakat) bukanlah satu perkara baharu. Jadi, tidaklah mereka hanya tahu zakat fitrah sahaja apabila sebut mengenai zakat.

Ada fasa kedua

Sembilan siri animasi ini adalah fasa pertama dan akan dipanjangkan lagi dengan kepelbagaian topik dan kupasan lebih jitu mengenai zakat pada fasa kedua nanti.

Menurut Abdul Hakim Amir, untuk menyiapkan dakwah berbentuk animasi ini tidak memerlukan kos tinggi kerana ia dihasilkan oleh kakitangan PPZ-MAIWP.

"Fasa pertama, ia mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan untuk menyiapkannya. Dan, apabila kita hendak meluaskannya ia tidak menjadi masalah kerana sudah ada ikon (maskot yang mana orang mula mengetahuinya).

"Dan, insya-Allah lepas ini kita mungkin lebih tertumpu kepada soal jawab zakat," katanya mengakhiri bicara.

- Bernama