Kumpulan kedua jemaah haji dari pantai timur selamat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Tuanku Nur Zahirah berkenan berangkat menghantar kumpulan 279 jemaah berkenaan. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Nurliza Mahmud serta exco kerajaan negeri.

sultan mizan zainal abidin terengganu 031106 Dalam titahnya Sultan Mizan ( kanan ) meminta jemaah menjaga adab dan tidak mencampuri pergolakan politik di rantau Timur Tengah itu yang dikhuatiri akan menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.

Baginda juga berharap jemaah haji dapat memberi sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di tanah suci.

Sementara itu, Ahmad bersyukur kerana setakat ini urusan pendaftaran jemaah haji yang dijalankan di TH Hotel dan Convention Centre berjalan lancar, sejak kompleks itu beroperasi dua bulan lepas.

Kumpulan hari ini merupakan sebahagian daripada 1,360 jemaah haji pantai timur yang dijadual berlepas di LTSM. Mereka dibahagikan kepada lima kumpulan dengan yang pertama berlepas pada 17 Sept lalu dan yang terakhir pada 26 Sept ini.

Ini merupakan tahun keenam LTSM melaksanakan penerbangan terus jemaah haji ke Arab Saudi.

- Bernama