Perlis akan merealisasikan hasrat menjadi negeri maju pada 2015 dengan acuan sendiri tanpa berkiblatkan mana-mana negara, kata Menteri Besar Azlan Man hari ini.

Beliau berkata ini bagi memastikan negeri itu tidak mengorbankan aspek jati diri rakyat seperti yang berlaku di sesetengah negara maju yang berpendapatan tinggi namun rakyatnya mengalami keruntuhan moral.

Setakat ini sebahagian besar daripada 50 indikator Perlis Maju 2015 sudah dicapai, katanya berucap dalam program Bual Bicara Perlis Maju 2015 peringkat Parlimen Kangar, di ibu negeri itu.

Menurut Azlan lagi, berdasarkan kajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kira-kira 84 peratus rakyat di Perlis bersetuju dengan agenda dalam Wawasan Perlis Maju 2015.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata Perlis berpotensi memenuhi sasarannya menjadi negeri maju menjelang 2015 kerana 43 indikatornya sudah dicapai terutama membabitkan infrastruktur.

Sebagai contoh, Perlis mempunyai kemudahan jalan yang sempurna dan tiada kawasan yang tidak boleh dicapai dengan kenderaan, katanya.

Beliau berkata sekalipun Perlis hanya mempunyai 250,000 penduduk, negeri itu mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi seperti UniMAP dan UiTM dan beberapa lagi bakal dibangunkan.

Program bual bicara Perlis Maju 2015 bertujuan mendedahkan orang ramai mengenai wawasan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk mendapat gambaran sebenar mengenai wawasan tersebut selain berkongsi idea.

-Bernama