Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili kerajaan Malaysia, parti Umno dan Barisan Nasional (BN) mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia pagi ini.

    

Timbalan perdana menteri turut menyifatkan pemergian Azizan sebagai satu kehilangan kerana Allahyarham banyak menyumbang kepada pembangunan terutama di Kedah.

    

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, parti Umno dan BN, kami hendak merakamkan rasa sedih kerana Allahyarham sewaktu hayatnya telah beri banyak sumbangan kepada pembangunan di Kedah khususnya sewaktu menjadi menteri besar.

    

"Atas dasar itu, kami rasa pemergian itu satu kehilangan sebagai sahabat dan pemimpin. Kita ketepikan soal politik kerana kami yakin pemergian beliau adalah satu kehilangan bagi kita juga," katanya kepada pemberita di Parlimen.

Muhyiddin berkata beliau mengenali Azizan secara peribadi dan pernah melawat pemimpin PAS itu di hospital sebelum ini.

    

Timbalan perdana menteri turut mendoakan agar roh Azizan dihimpunkan bersama-sama golongan yang soleh.

    

Azizan, 69, menghembus nafas terakhir di sisi keluarganya di wad Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi ini, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

    

Sementara itu, Kerajaan Negeri Kedah turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azizan dan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada negeri itu.

"Allahyarham Ustaz Azizan adalah menteri besar yang begitu prihatin kepada keperluan rakyat. Walaupun kami berbeza ideologi politik, sifat hormat-menghormati antara pemimpin tetap diamalkan lebih-lebih lagi ketika beliau menerajui kerajaan negeri.

   

"Saya sendiri mengambil pendekatan kerap menziarahi beliau (ketika menerima rawatan) di Hospital Pulau Pinang dan di sini (HSB). Setiap antara kita sedih atas kehilangan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSB hari ini.    

Sementara itu, Kerajaan Negeri Melaka turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azizan.

   

Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron berkata pemergian Allahyarham merupakan kehilangan seorang tokoh yang memainkan peranan besar dalam arena politik negara.

   

"Mengenali dirinya, Allahyarham mempunyai gaya dan cara pentadbiran disenangi ramai pihak, dalam berseloroh ada ketegasannya.

"Saya bersama rakyat Melaka mengucapkan sedalam takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya dalam satu sidang akhbar selepas melawat loji penapisan minyak Petronas di Sungai Udang di Alor Gajah hari ini.

   

Katanya beliau dan seluruh rakyat Melaka mendoakan roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat.

 

- Bernama

1. Bekas MB Kedah Azizan Razak meninggal dunia

2. PM ucap takziah kepada keluarga bekas MB Kedah