Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan dilantik pengerusi PAC
Diterbitkan:  Sep 26, 2013 6:58 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengumumkan perlantikan Anggota Parlimen (BN) Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

    

Beliau berkata pemilihan yang dibuat Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat Ke-13 itu turut mengumumkan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) sebagai Naib Pengerusi PAC dan 12 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang sebagai anggota jawatankuasa PAC.

    

Katanya keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat yang bermesyuarat dua hari lepas yang dipengerusikan beliau sendiri dan turut disertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).

    

Bercakap kepada pemberita, Pandikar Amin berkata anggota jawatankuasa PAC dari BN ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Chua Tee Yong (Labis), Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baru), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Datuk Madius Tangau (Tuaran), Hasbi Habibollah (Limbang) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

    

Anggota dari pembangkang ialah Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang), William Leong Jee Ken (PKR-Selayang), Datuk Kamarudin Jaafar (PAS-Tumpat) dan Tony Pua Kiam Kee (DAP-Petaling Jaya Utara).

    

Pandikar Amin berkata Jawatankuasa Pemilih turut memilih enam anggota Parlimen, masing-masing untuk menganggotai Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

    

Katanya ketiga-tiga jawatankuasa itu dipengerusikan beliau sendiri berdasarkan kepada peruntukan peraturan mesyuarat.

- Bernama

ADS