Pelaburan RM700 juta Felda - badan perladangan terbesar di negara ini - dalam bidang perhotelan, telah menimbulkan tandatanya bagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

lim guan eng interview 160813 03 "Apa kaitan antara operasi dan pemilikan lapan buah hotel di serata Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan London; dengan penanaman kelapa sawit?

"Bagaimana dengan melabur RM700 juta menjalankan perniagaan

perhotelan di dalam negara dan di London dapat memberi faedah kepada kehidupan lebih satu juta orang yang tinggal di tanah rancangan Felda di seluruh negara?

"Ketika kami mula-mula mengambil alih pada 2008, kami sangat terkejut bahawa kerajaan negeri dan anak-anak syarikatnya begitu sarat terlibat dengan aktiviti bukan-teras di mana ia tidak memiliki kepakaran seperti menjalan operasi ladang kelapa sawit, getah, kolam ikan, hotel, kolej malah padang golf.

"Kesemua usaha yang tidak difikirkan dengan baik ini sedang menjana kerugian ketika itu," katanya dalam satu kenyataaan, sambil menambah bahawa melalui polisi melepaskan pegangan, dan penyumberan luar melalui pelaksanaan tender terbuka, kesemua kerugian operasi itu ditukar menjadi keuntungan.

Katanya, sementara usaha mempelbagai itu adalah amalan korporat yang biasa dibuat, ia mestilah berkait dengan bisnes terasnya atau mesti berkait dengan pengalaman pengurusan pakar.

"Dunia korporat bersepah dengan sampah sarap pelaburan yang tidak rasional dan cuai; dalam bisnes yang syarikat induk tidak mempunyai banyak kepakaran atau ilmu," tambahnya.

Di samping itu, tambahnya, Felda secara terang-terangan mengingkari salah satu teras utama Plan Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan Persekutuan untuk melepas asset bukan teras oleh syarikata berkaitan kerajaan.