Akhbar mingguan yang digantung permit, Eksklusif , hari ini mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah lagi akhbar mingguan politik yang sering menerbitkan tulisan yang menyokong Umno.

Eksklusif dipercayai mengambil tindakan terhadap Era Baru kerana bimbang permohonan permit akhbar itu akan terjejas. Akhbar mingguan popular itu kini menunggu jawapan Kementerian Dalam Negeri setelah permitnya tamat 15 April lalu.

Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd yang menerbitkan Eksklusif menjelaskan saman itu berdasarkan sebuah rencana dalam Era Baru yang menuduh mingguan politik itu membuat laporan berunsur fitnah, berbentuk pembohongan dan caci-maki.

Akhbar Era Baru pada 29 Mac lalu menerbitkan rencana bertajuk "Agenda untuk Jatuhkan Mahathir?" yang ditulis oleh Dr Alias Mohamed.

Pada perenggan keenam, rencana itu menyebutkan: "Walaupun amat ramai ahli-ahli Umno sendiri mengharapkan jawapan, reaksi positif dan bahkan serangan balas terhadap pembohongan, caci-maki, kata-kata kesat dan bongkak rencana pengarang Harakah dan fitnah Eksklusif , namun para pemimpin Umno dan KDN mendokong sikap seolah-olah bersetuju dan mengakui keburukan yang dilemparkan oleh akhbar dan majalah-majalah tersebut."

"Sebagai sebuah penerbitan akhbar yang berpengalaman, mereka (penerbit Era Baru ) seharusnya tidak melemparkan tuduhan sebarangan terhadap kami," kata Pengarah Urusan Karangkraf, Hishamuddin Yaacub.

Pada perenggan sebelumnya, rencana Dr Alias itu menyebutkan: "Ketika penyokong-penyokong PAS telah meredah masjid dan surau dengan kata-kata kesat terhadap Dr Mahathir, Umno dan kerajaan, ketika jualan Harakah melebihi 300,000 naskhah dan Eksklusif mencecah 100,000 naskhah yang sedang sarat dengan fitnah terhadap Dr Mahathir ini..."

Pagi tadi kumpulan itu menfailkan saman malu terhadap penulis rencana, akhbar Era Baru dan penerbitnya, Mohd Idris Tulis di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara menunggu kes saman ini dibicarakan, plaintif memohon perintah mahkamah bagi menghalang ketiga-tiga defenden daripada menulis dan menerbitkan lagi artikel yang boleh menjejaskan Eksklusif .

Kumpulan Karangkraf diwakili peguam Govin Sreedharan, sementara Era Baru diwakili dua peguam, Arjun dan John Clark Sumogod. Kes tersebut akan disebut semula pada 17 Mei ini.

Penerbit Era Baru pula mahu Eksklusif membuktikan di mahkamah apakah benar rencana tersebut membuat tuduhan yang boleh menjejaskan permohonan permit mereka.

"Artikel itu diterbitkan setelah mereka menerima amaran daripada KDN, tidak timbul kami menghalang proses permohonan permit Eksklusif ," kata Idris ketika dihubungi malaysiakini petang ini.

Idris berkata syarikat itu bertujuan mengukuhkan perpaduan dan penyelewengan yang disebarkan oleh pihak tertentu terhadap kerajaan dan negara ini.

"Kami bukan hendak membuat untung dengan menjual cerita-cerita sensasi," kata Idris, bagi menjelaskan tuduhan sesetengah pihak bahawa akhbar itu prokerajaan.

Akhbar yang turut disebut dalam rencana itu, Harakah , akan melihat perkembangan saman itu. "Kita mengambil sikap tunggu dan lihat," kata seorang wartawan kanan tabloid PAS itu, yang tidak mahu dikenali.

Karangkraf merupakan sebuah syarikat penerbitan Bumiputera yang mengeluarkan lebih 15 penerbitan, antaranya Nona , Remaja , Mingguan Wanita , Bacaria , selain mingguan Eksklusif . Ia diasaskan pada 1979.

Bagaimanapun mingguan itu diterbitkan pada April tahun lalu.

Sementara Era Baru diterbitkan oleh Maninjau Sdn Bhd mulai 1994. Syarikat ini dipengerusikan oleh Idris.