KJ: 'Saya tak ada masalah kerjasama dengan Mukhriz'
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir pada masa akan datang demi kebaikan parti.
Dalam temubual dengan Berita Harian hari ini, Khairy berkata beliau dan Mukhriz pernah berada dalam satu pasukan dalam pergerakan itu dan beliau "sudah lama mengenali" anak lelaki bekas perdana menteri itu.
"Saya tidak ada masalah, kita pernah bekerja sebagai satu pasukan ketika saya menjadi naib ketua beliau exco Pemuda Umno. Saya sudah kenal beliau begitu lama.
"Saya rasa dalam Umno, saya antara orang yang kenal beliau paling lama sejak umur saya enam tahun lagi. Dia lebih tua daripada saya 11 tahun dan saya kenal dia daripada kecil lagi. Jadi saya tidak ada masalah dengan dia, untuk kebaikan parti," katanya.
Khairy yang juga ahli parlimen Rembau menjawab soalan sama ada kedua-dua pemimpin muda yang dianggap pelapis, mampu bekerja sebagai satu pasukan pada masa akan datang.
Ditanya pandangannya berhubung kesediaan Mukhriz mewarkan diri bertanding jawatan naib presiden, Khairy berkata Mukhriz adalah seorang pemimpin generasi muda Umno yang ada masa depan cerah dan berjaya menjadi menteri besar Kedah.
Malah, beliau yang juga menantu Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap Mukhriz dapat membangunkan Kedah dengan baik dan mengekalkan kekuasaan BN di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Jelapang Padi' itu.
"Soal dia nak bertanding jawatan apapun dalam parti terpulang kepada dia, sebab dalam semangat keterbukaan, kita tidak boleh halang.
"Kita perlu semua pemimpin memainkan peranan dalam Umno. Saya tidak mahu lihat pemimpin kita bergaduh sampai kita kerugian seorang pemimpin yang boleh membantu pasukan Umno," katanya.

