Tiga pelajar kolej swasta warga Nigeria hari ini dijatuhi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methampetamine seberat 1kg, dua tahun lepas.

    

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Chigozie Patrick Umeohudo, 26, Nnaemeka Nwafor, 25, dan Chibuike Collins Nnebedum, 24, tidak boleh dipercayai, bersifat penafian dan rekaan semata-mata.

    

"Mahkamah berpuas hati dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan gagal mematahkan kes pendakwaan. Justeru, ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah dan digantung

sampai mati," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah itu di Jalan 4/40, Taman Sri Segambut, Sentul di Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang 10 Jun 2011.

    

Dadah yang dibawa dalam beg plastik itu disimpan di dalam tin biskut ketika mereka ditangkap.

    

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

    

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason sementara Chigozie dan Chibuike diwakili peguam Rajpal Singh dan Nnaemeka diwakili peguam Saranjeet Kaur Sidhu.

- Bernama