Polis meminta kerjasama orang ramai dalam usaha mengesan seorang lelaki berumur 20 tahun untuk membantu siasatan kes rogol bawah umur membabitkan pelajar perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata lelaki berasal dari Kuala Penyu, Sabah, yang bekerja dengan sebuah syarikat perkhidmatan kurier itu, dipercayai masih bebas di tanah besar Sabah.

Siasatan awal mendapati suspek (yang dikenali pelajar perempuan itu hanya selama dua minggu), membawa pelajar itu ke bilik sewanya di Kampung Jawa untuk bermalam.

"Suspek juga dipercayai terlibat dengan kegiatan lumba motor haram (Mat Rempit)," kata Adzhar.

Sementara itu. Adzhar berkata polis menumpaskan sindiket pecah rumah yang aktif di pulau bebas cukai itu ekoran penahanan 10 suspek, termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan dua gadis berumur 16 tahun, kesemuanya warga asing.

Beliau berkata polis turut menemui semula barangan curi bernilai RM25,000 daripada sindiket terbabit.

- Bernama