Jawatankuasa Pemilihan Umno tidak mempunyai kuasa untuk meminda Tataetika Ahli Umno kerana peraturan itu tertakluk di bawah kuasa Majlis Tertinggi (MT).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata pihaknya hanya menjalankan tanggungjawab mengikut tataetika yang termaktub dalam Perlembagaan Umno.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media terdapat beberapa calon yang tidak berpuas hati dengan Tataetika Ahli Umno yang kononnya menyekat kebebasan calon untuk berkempen dan meminta jawatankuasa itu memberi sedikit kelonggaran.

"Jawatankuasa Pemilihan dan Lembaga Disiplin tidak ada kuasa... kami cuma perturunkan apa yang ada di dalam tataetika cara berkempen.

"Buku ini diluluskan oleh MT dan mereka mempunyai kuasa untuk meminda tataetika di dalam buku Perlembagaan Umno itu dari semasa ke semasa... justeru kalau yang keluarkan kenyataan itu adalah di kalangan ahli MT, saya tidak tahu dia dah baca atau belum," katanya pada sidang media hari ini.

Tajol Rosli berkata pihaknya tidak berhasrat untuk mencadangkan kepada MT supaya tataetika itu dipinda.

"Kita (Jawatankuasa Pemilihan) sebagai kereta api hanya mengikut landasan, kalau landasan berubah kita berubah... jadi tidak perlulah kita cadang kerana tataetika itu sememangnya muktamad dan perlu dipatuhi," katanya.

Beliau turut mengingatkan calon yang bertanding dalam pemilihan parti kali ini agar berhati-hati ketika berkempen kerana mereka terikat dengan tataetika.

"...dan sekiranya terdapat aduan pelanggaran tataetika, tindakan akan diambil," katanya.

Mengulas lanjut, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata Jawatankuasa Pemilihan hanya terbabit dalam proses pemilihan manakala kuasa mengambil tindakan hanya boleh dilakukan Lembaga Disiplin parti.

"Banyak laporan akhbar menyatakan bahawa Jawatankuasa Pemilihan tidak peka apabila tataetika terlalu mengongkong calon untuk berkempen sedangkan kedua-dua jawatankuasa itu tidak terlibat (untuk meminda tataetika parti) dan apa jua pindaan bergantung pada kuasa MT," katanya.

Mengenai pemilihan bagi ketiga-tiga sayap - Pemuda, Wanita dan Puteri - peringkat bahagian dan pusat yang dijadualkan Sabtu ini, Ab Rauf berkata keputusan jawatan sayap pusat dijangka dapat diketahui pada keesokan harinya.

"Dijangka selepas pukul 2 atau 3 pagi baru dapat anggaran keputusan. Keputusan sepenuhnya dijangka hanya boleh diumumkan keesokan harinya... begitu juga keputusan untuk pemilihan MT pada 19 Oktober nanti," katanya.

-Bernama