Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis merampas sebanyak 205 unit beg yang dipercayai barangan tiruan apabila menyerbu sebuah premis di Gapura Square, Padang Besar semalam.

Pengarah PPDNKK Perlis, Khairul Amin Talib, berkata serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 3 petang setelah menerima aduan daripada pembekal.

Hasil serbuan oleh empat pegawai penguatkuasa bersama dua wakil daripada syarikat pembekal itu, pihaknya merampas 132 unit beg tangan wanita pelbagai bentuk dan warna, 69 unit beg duit dan dompet wanita serta empat unit beg pakaian.

Beliau menganggarkan rampasan itu bernilai RM71,700 dan merupakan rampasan terbesar barangan tiruan di Perlis setakat ini.

Hasil rampasan itu, PPDNKK turut menahan seorang wanita berumur kira-kira 60 tahun untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali bagi individu.

Bagi syarikat atau pertubuhan, denda yang boleh dikenakan ialah RM15,000 bagi setiap barangan.

Khairul Amin berkata, peniaga yang ragu-ragu mengenai status barangan jualan mereka boleh menghubungi PPDNKK Perlis melalui talian 049795000 untuk mendapatkan kepastian.

- Bernama