Penjawat awam diseru tunjuk etika baik
Penjawat awam di Sarawak ini diseru menunjukkan etika dan moral baik agar rakyat yakin dengan pentadbiran awam negara.
Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin berkata selain itu nilai dan etika murni yang ditunjukkan juga dapat membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar pembangunan negara.
"Tunjukkan etika dan moral yang baik, ketrampilan budi bahasa, tepati masa, cepat, cekap serta telus ketika melaksanakan tugas supaya rakyat yakin dengan pentadbiran awam kerajaan, ini juga dapat membantu pucuk pimpinan kerajaan dalam membangunkan negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Forum Gerakan Pemantapan dan Pengukuhan Integriti di Auditorium Yayasan Sarawak, di Kuching semalam.
Forum anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) itu dihadiri 200 peserta dari 25 agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
Tiga tajuk berkaitan integriti turut dibentangkan pada forum tersebut, iaitu 'Pembudayaan dan Penerapan Integriti'; 'Integriti:Cabaran dan Kejayaan dalam Perkhidmatan Awam'; dan 'Isu Integriti: Penyalahgunaan kuasa dan Rasuah'.
- Bernama

