Menaiki motosikal secara berkumpulan untuk tiba di mesyuarat perwakilan Umno pada awal pagi adalah antara semangat yang ditonjolkan oleh anggota perwakilan Pemuda Umno bahagian Setiawangsa.

    

Mereka tiba seawal 8 pagi bagi mendaftarkan diri untuk menyertai mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang bermula serentak di 191 bahagian di seluruh negara.

    

Anggota perwakilan Pemuda Cawangan Umno Setapak Jaya Mohd Fadly Mohamed Ariff berkata mereka gembira kerana kali ini diberi peluang memilih calon pilihan.

    

Katanya hampir 300 anggota perwakilan Pemuda cawangan itu hadir untuk mengundi calon Pemuda peringkat bahagian dan pusat.

"Buat pertama kali, kami dapat lihat banyak calon yang boleh kami pilih dan ini menunjukkan semangat demokrasi jitu sedang berlaku di dalam parti," katanya ketika ditemui di luar Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Setiawangsa 2013 di ibunegara hari ini.

Selain Umno Bahagian Setiawangsa, terdapat 12 lagi Umno Bahagian dalam Perhubungan Umno Wilayah Persekutan iaitu Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Kepong, Putrajaya, Bandar Tun Razak, Bukit Bintang, Segambut, Wangsa Maju, Seputeh, Cheras dan Labuan yang mengadakan mesyuarat hari ini.

    

Ketua Umno Bahagian Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique ketika ditemui berkata semangat ditampilkan bahagiannya itu adalah hasil pembaharuan yang lebih demokratik yang dibawa Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

"Kita dapat lihat semangat itu dibuktikan dengan majoriti perwakilan daripada tiga sayap hadir pada mesyuarat perwakilan masing-masing," katanya.

    

Beliau berkata mesyuarat perwakilan di tiga sayap itu bermula pada pukul 11 pagi selepas semua perwakilan mendaftar diri dan pemilihan akan berlangsung sehingga petang ini.

    

Katanya keputusan pemilihan pemimpin untuk tiga sayap bahagian mungkin diketahui awal malam ini manakala keputusan tiga sayap peringkat pusat akan diserah kepada Jawatankuasa Majlis Tertinggi.

   

Anggota perwakilan Wanita Umno Cawangan Pondok Pakalongan dari Umno Bahagian Titiwangsa, Hawa Hassan, 70, berkata beliau berpuas hati dengan proses pengenalan calon dan jumlah mereka yang ramai menawarkan diri.

    

"Apa yang penting kita hendak pemimpin dipilih kali ini ialah orang yang buat kerja dan bila dijemput, boleh datang," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Titiwangsa di hotel Raintree, Pandan Jaya di ibunegara.

    

Tinjauan Bernama di beberapa mesyuarat perwakilan Umno Bahagian dalam Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di sekitar ibu negara mendapati semuanya berjalan lancar.

    

Pemilihan tiga sayap Umno di seluruh negara menyaksikan 110,765 perwakilan Wanita, kira-kira 70,000 Pemuda dan kira-kira 50,000 Puteri melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih kesinambungan kepimpinan sayap parti itu untuk penggal 2013 hingga 2016.

   

- Bernama