Kerajaan Thai yang kini menghadapi protes berpanjangan daripada kumpulan pembangkang, mungkin memperluas kawasan penguatkuasaan peraturan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Bercakap kepada pemberita semalam, Yingluck berkata polis akan mempertimbang dan menilai situasi terlebih dulu sebelum kerajaan memutuskan sama ada memperluas kawasan penguatkuasaan ISA.

Kumpulan pembangkang, 'Tentera Rakyat menentang Rejim Thaksin' melancarkan protes di hadapan Rumah Kerajaan tetapi beralih ke persimpangan bertingkat Urupong, pada jarak satu kilometer, untuk memudahkan lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Keqiang minggu lepas (11-13 Okt).

Persimpangan Urapong tidak terletak di bawah perintah ISA yang hanya berkuatkuasa di beberapa bahagian di tiga daerah Bangkok – Dusit, Pomprabsattrupai dan Pranakorn (kawasan dekat Rumah Kerajaan dan Parlimen) berkuatkuasa 9-18 Okt.

Sekatan konkrit dipasang depan laluan masuk ke Rumah Kerajaan dan Parlimen bagi menghalang penunjuk perasaan berkumpul di lokasi-lokasi berkenaan.  

Penunjuk perasaan bertegas mahu meneruskan protes di persimpangan berkenaan dan sekatan jalan itu menimbulkan masalah trafik di kawasan berkenaan dan jalan-jalan berkaitan.   

“Saya telah menugaskan pihak berkuasa agar berunding dengan penunjuk perasaan agar perhimpunan mereka tidak mengganggu perjalanan orang ramai," kata Yingluck.

- Bernama