Laporan: Pelajar JPA dihalang sertai program Anwar
Kumpulan pelajar tajaan Malaysia di Australia didakwa diberi amaran agar tidak menghadiri satu perjumpaan bersama ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program yang dijangka akan diadakan di Adelaide University pada hujung minggu ini.
Laporan lidah parti PKR Keadilan Daily menyebut, amaran tersebut terkandung dalam satu surat yang dikeluarkan kepada pelajar terbabit oleh seorang pegawai penasihat pelajar Jabatan Perkhidmatan Awam.
Menurut laporan yang dinyatakan dari Adelaide, Australia itu, surat berkenaan menegaskan bahawa tindakan keras akan diambil kepada pelajar tajaan yang terlibat dalam program dengan nama 'Festival of Ideas, Dissent and Democracy' itu.
“Jauhkan diri anda dari menyertai aktiviti ini. Saya tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan keras ke atas penerima biasiswa JPA yang terlibat.
“Anda bijak untuk berfikir daripada melakukan aktiviti yang boleh menyulitkan anda mengekalkan gred yang menyebabkan biasiswa daripada ditarik semula.

