Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata Umno Selangor akan bekerjasama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor dalam usaha meningkatkan jumlah pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    

Beliau berkata kerjasama itu juga untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) menawan kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat.

    

NONE"Selain kerjasama Perkasa, kita juga memerlukan usaha rakan-rakan komponen BN bagi membantu meningkatkan pengundi-pengundi dari kaum lain," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Tahunan Perkasa Selangor, yang turut dihadiri Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, di Shah Alam malam tadi.

    

Noh berkata terdapat 49 peratus pengundi Melayu di Selangor manakala bakinya pengundi bukan Melayu.

    

Beliau berkata usaha meningkatkan pengundi-pengundi BN akan digerakkan mulai tahun hadapan setelah semua parti komponen menyelesaikan pemilihan parti masing-masing tahun ini.

Sementara itu, Ibrahim berkata Perkasa telah menubuhkan Jawatankuasa Pendaftar Pemilih bagi meningkatkan jumlah pengundi Melayu.

Setakat ini, kira-kira 2.5 juta orang Melayu di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih, manakala lima juta orang akan layak sebagai pengundi baru pada PRU14, katanya.

    

Justeru, beliau mengarahkan Perkasa Selangor supaya meningkatkan usaha mendaftar pengundi Melayu.

- Bernama