Orang Islam perlu menolak hak asasi manusia yang bercanggah dengan ajaran Islam, seru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam teks khutbah yang diedarkan ke masjid-masjid di Wilayah Persekutuan hari ini.

Dalam khutbah yang sama, Jakim turut menggesa agar tindakan tegas dikenakan terhadap penyokong hak asasi yang "mencemar dan menghina agama Islam".

Jakim merujuk kepada Comango, gabungan NGO Malaysia yang menyerahkan laporan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum sesi Penilaian Berkala Sejagat (UPR) rekod hak asasi Malaysia Khamis depan.

friday prayer with imam giving the khutbah 070205"Berdasarkan kepada maklumat yang diterima terdapat beberapa laporan yang dihantar secara berasingan kepada majlis tersebut oleh gabungan lebih 54 NGO dari negara ini atas nama Comango yang ternyata jelas akan menggugat kedaulatan Islam di negara ini," khutbah itu dipetik.

Comango dalam sidang medianya semalam menafikan dakwaan yang laporannya kepada PBB akan memperkecilkan kedudukan Islam di negara ini.

Dalam khutbah sama, Jakim menegaskan kumpulan pejuang hak asasi yang sama berjuang untuk golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual dan mak nyah yang perlakuannya dianggap menyimpang daripada Islam.

"Persoalan besar sekali lagi timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?

"Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa inilah propaganda fahaman pluralisme agama yang semakin hari makin berkembang berlaku di negara ini.

"Ingatlah bahawa dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak," khutbah itu dipetik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebelum ini menggesa solat hajat diadakan di masjid dan surau seluruh negara sepanjang sesi UPR itu.