Hanya beberapa jam sebelum mengumumkan secara rasmi keputusannya bertanding jawatan presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata beliau telahpun menjadi sasaran kempen yang memburuk-burukkannya - yang tidak pernah berlaku dalam sejarah parti itu.

Mah berkata perwakilan dua negeri di utara telah menerima mesej teks yang menyerangnya secara peribadi, menandakan mungkin wujud perpecahan dalam parti komponen BN itu, yang kalah teruk dalam dua pilihan raya umum lalu.

"Serangan peribadi jenis ini tidak pernah berlaku dalam tempoh lebih 20 tahun saya bersama Gerakan," kata Mah kepada pemberita di ibupejabat parti itu di Cheras.

NONE"Saya akan minta jawatankuasa penyeliaan untuk menyiasat. Ini

bukan budaya Gerakan," kata Mah yang juga setiausaha agung Gerakan.

Mah mengumumkan beliau akan bertanding jawatan presiden. Esok adalah hari penamaan calon bagi pemilihan kepimpinan pusat parti itu.

Mah yang bertemu ketua dan perwakilan dari lapan negeri dalam satu taklimat berkata beliau berharap pemilihan parti itu minggu depan akan dikendalikan "dengan cara yang sopan dan demokratik".

"Musuh kita bukan berada dalam parti tetapi di luar. Kita kalah begitu teruk... kosong di Pulau Pinang, kosong di banyak negeri... jadi hentikan pergaduhan dalaman dan tengok bagaimana kita boleh bekerja bersama-sama," kata Mah.

Harapan baru, Gerakan baru

Dalam taklimat itu, beliau menunjukkan tema baru Gerakan yang dicetak dalam warna putih di kain rentang besar berwarna merah - Landasan baru, Harapan Baru, Gerakan baru.

gerakan party election slogan launch 031013 01Mah percaya kempen memburuk-burukkannya itu bukan dilakukan

oleh pemimpin tetapi pengikut yang keterlaluan.

Jawatan presiden Gerakan kosong selepas Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berundur sebagai bertanggungjawab terhadap prestasi teruk Gerakan dalam PRU13 pada 5 Mei lalu. Parti itu hanya menang satu kerusi parlimen. Ia menang dua kerusi negeri pada 2008.

Mah juga menggesa media supaya berhenti menyerang Koh kerana beliau sedang bercuti selama dua minggu.

Sebelum ini, pemangku presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn mengumumkan beliau akan mengosongkan jawatan tersebut.

Berikutan itu, pesaing terkuat Mah kini ialah pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

"Kami masih berbincang," kata Mah ketika ditanya pemberita sama ada benar spekulasi bahawa pemimpin Gerakan sedang cuba memujuk Teng supaya tidak bertanding.

"Itu kita boleh bincang, ia lebih baik...," katanya sambil menambah, jika tidak, beliau berharap pertandingan tersebut akan berjalan dengan sopan dan secara adik beradik.

Sementara itu, Ketua Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai, juga mengumumkan akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden dan menyokong Mah untuk jawatan presiden .

Cheah memberitahu pemberita bahawa beliau telah bercakap dengan Teng, yang berkata beliau tidak berminat bertanding jawatan timbalan presiden.

Dua calon akan berdepan bagi jawatan ketua Pemuda parti itu, manakala jawatan ketua Wanita dimenangi tanpa bertanding.

[Baca berita penuh]