Mukhriz hanya dapat 2 undi di Johor
Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang bersaing merebut jawatan Naib Presiden Umno, gagal mendapatkan sokongan di Johor apabila hanya dua bahagian memilih beliau.
Bahagian Tebrau memberi 397 undi kepada beliau berbanding Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (387) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (361), lapor Bernama.
Di bahagian Johor Baharu, Mukhriz hanya meraih 329 undi berbanding Ahmad Zahid (470) dan Hishammuddin (333).
Keputusan pemilihan bagi naib presiden itu diumum Ketua Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabat perhubungan itu di Johor Baharu malam ini.
Perwakilan daripada 26 bahagian Umno memberikan undi sebanyak 11,586 kepada Ahmad Zahid, yang merupakan Menteri Dalam Negeri; Hishammuddin yang merupakan Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan (9,670); Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal (9,192) dan Mukhriz (726).
Sementara itu, sebelas Umno bahagian di Kedah memilih Ahmad Zahid, Mohd Shafie dan Mukhriz untuk jawatan Naib Presiden Umno, menurut keputusan tidak rasmi.

