Pengasih mahu akta haramkan ketum
Pengasih, badan sukarela yang melaksanakan program pemulihan penagih dadah, mahu kerajaan segera mewujudkan akta mengharamkan pengambilan air ketum.
Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Yunus Pathi berkata akta tersebut perlu kerana kesalahan mengambil daun ketum pada masa ini adalah di bawah akta racun yang sukar untuk pihak berkuasa menghantar mereka terlibat ke pusat pemulihan.
"Saya harap Peguam Negara segera menyediakan draf akta mengharamkan daun ketum dan pengambilan air ketum," katanya kepada pemberita selepas perasmian seminar 'Kenali Anak Kita Petronas' (KAKP) peringkat zon utara di Alor Setar, hari ini.
Seminar kemasyarakatan itu dianjurkan bersama oleh Petronas-Pengasih dirasmikan oleh anggota Exco kerajaan Kedah, Badrolhisham Hashim.
- Bernama

